Susu formula Biomil ciptaan tempatan
AMALAN minum susu di kalangan rakyat Malaysia masih berada di tahap rendah, ertinya tidak semua isi rumah mengamalkan pengambilan susu, terutama apabila anak-anak mencecah usia 10 tahun ke atas. Kebanyakan ibu bapa juga memandang kepentingan susu sebagai satu perkara mudah, bertambahnya umur anak menjadikan ibu bapa lega kerana tidak perlu memperuntukkan sejumlah wang yang banyak untuk membeli susu mereka lagi.
Jikalau kita semua sedar betapa banyaknya manfaat dan khasiat pengambilan susu untuk tubuh dan minda, pasti kita semua tidak akan berkira lagi untuk menyediakan sekurang-kurangnya satu tin susu di rumah.
Rasullullah SAW pernah bersabda, “Minumlah susu, kerana ia menghapuskan rasa panas dalam hati seperti mana jejari menghapus peluh di dahi. Susu boleh menguatkan belakang, meningkatkan minda, mencerdaskan akal, mengelokkan penglihatan dan menjauhkan lupa”.Masyarakat Arab menjadikan amalan meminum susu segar dari bayi hingga dewasa kerana mereka tahu khasiatnya yang begitu tinggi.
Dengan slogan ‘susu untuk generasi akan datang’, memberi inspirasi kepada seorang usahawan, Ishak Husin untuk menghasilkan susu formula pertama keluaran tempatan.
“Setelah 50 tahun negara kita merdeka, tidakkah kita terfikir inilah masanya untuk kita menghasilkan susu buatan Malaysia,” jelasnya ketika ditemui di pejabatnya yang terletak di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, baru-baru ini.
Mementingkan elemen kesihatan menyeluruh, termasuk perkembangan fizikal, mental dan sahsiah, Ishak mengadunkan kecanggihan teknologi Perancis dalam penghasilan susu Biomil keluaran syarikatnya.
“Bila sebut tentang susu, kita sedia maklum ia memberi banyak khasiat terutama dari aspek tumbesaran tubuh dan minda, tapi pernahkah kita terfikir untuk mendapatkan susu yang turut memberi manfaat dari segi sahsiah diri anak-anak, sebab itulah saya mencampurkan ramuan seperti Habbatus Sauda dan Schuessler Biochemical Tissue Salts (garam tisu Biokimia Schuessler. Ia telah diperkenalkan pada tahun 1873 oleh Dr. Wilhelm Helmut Schuessler, seorang berbangsa Jerman. Penemuan garam tisu ini terbukti berkesan dan selamat sama ada dalam bentuk pemakanan kesihatan mahupun perubatan.
“Kajian-kajian yang dijalankan oleh Schuessler mendapati bahawa kelicinan fungsi tubuh bergantung kepada adanya zat-zat kimia dalam juzuk-juzuk yang seimbang. Analisis yang dijalankan ke atas darah dan tisu-tisu lain dalam tubuh menunjukkan adanya 12 garam mineral utama yang terdapat di dalam tubuh. Apabila kandungan zat-zat tersebut tidak seimbang ataupun berkurangan, maka fungsi tubuh menjadi terganggu,” tambah Ishak yang turut mempunyai kilang memproses susu di Bukit Raja, Klang.
Menurut Ishak, walaupun kandungan garam tisu ini sebenarnya mengandungi 12 unsur, namun dalam Biomil hanya tiga yang digunakan iaitu, kalsium fosfat, magnesium fosfat dan kalium fosfat, kerana ini yang diperlukan untuk tujuan yang disebutkan di atas. Antara kebaikan garam tisu Schuessler dalam Biomil ialah ia dapat mempertingkatkan kecergasan dan kecerdasan. Selain itu ia juga mampu mencegah gangguan kesihatan, demam, selesema, batuk dan ruam. Menyihatkan rambut dan kulit, menguatkan tulang dan gigi dan juga membuang bahan toksin dalam badan.
Kebaikan lain ialah membaiki penghadaman, pencernaan dan perkumuhan, mengurangkan ragam tangis dan memudahkan penjagaan. Ia juga memberi kesan kepada kesuburan, pertumbuhan dan pengembangan fizikal, emosi dan mental.
“Walaupun ini produk tempatan, tetapi kami mengambil bahan mentah susu dari negara pengeluar susu utama dunia, New Zealand. Satu lagi keistimewaan Biomil ialah mengandungi Electromagnetic molecular signaling (EMS), kedua-dua nilai tambah ini tidak pernah dimasuk ke dalam susu yang pernah dihasilkan dalam pasaran sebelum ini,” jelasnya.
Menerangkan tentang konsep EMS, ia bersifat gelombang dan ditukar dalam bentuk frekuensi yang telah terbukti melalui beberapa ujian makmal bahawa sel juga bertindakbalas dan berinteraksi apabila menerima semboyan molekular daripada frekuensi yang tidak bersifat fizikal malah lebih daripada bentuk gelombang elektromagnetik. Untuk Biomil, Ishak telah mengekstrak khasiat air zam-zam, ubat cacing, probiotik dan Habbatus Sauda, yang telah ‘disalin’ gelombangnya dan dilalukan kepada susu Biomil. Kajian dan mesin untuk tujuan ini telah dibuat di Perancis.
“Kita mesti mempunyai identiti tersendiri, kalau tidak, orang akan kata, kita beli susu dari New Zealand dan membuat pembungkusan semula, padahal ia tidak begitu,” tambah Ishak.
Biotral Sdn. Bhd. syarikat yang mengeluarkan Biomil berhasrat untuk menjadi peneraju kepada produk susu tepung untuk kanak-kanak dan seisi keluarga.“Misi kami adalah untuk membekal produk yang berkualiti tinggi serta menyediakan khidmat langganan yang terbaik. Biotral Sdn. Bhd. juga menjanjikan pengeluaran produk dengan ramuan yang berkualiti tinggi.
Proses pengeluarannya dilakukan melalui amalan kebersihan yang tinggi. Produk ini mendapat pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta memenuhi tahap kelayakan sijil Analisis Bahaya dan Titik Pengendalian Kritikal (HACCP) dan ISO 9001:2000,” jelas Ishak yang juga berkelulusan dalam bidang homeopati.
Jenama Biomil sebenarnya sudah berada dalam pasaran sejak dua tahun lalu, namun pada April tahun ini penjenamaan semula dibuat dengan pembiayaan dari Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) yang nampak potensi besar dalam pemasaran susu ini.
“Kita telah mencuba produk ini dalam tempoh dua tahun kepada sekumpulan kanak-kanak, akhlak mereka nampaknya Alhamdulillah,” katanya yang kini sedang memasarkan produknya ke pasar raya di seluruh Malaysia.
Dipetik drp Utusan Online 24 Jun 08, Oleh NOOR FAZRINA KAMAL