Wednesday

Kerja..Dimanakah ia?

Akhirnya elaun pengajian Sarjana yang membiayai kehidupan saya sebagai pelajar, isteri dan ummi kepada dua orang anak tamat pada September 2011 menyebabkan saya perlu mencari kerja untuk meneruskan kelansungan rumah tangga. Sebelum ini, dengan elaun pengajian saya yang berjumlah RM 1300 sebulan, bolehlah saya membantu suami, tetapi apabila tamat tempoh pemberian elaun, ia ibarat kepatahan sebelah kaki.  Saya cuba memohon lanjutan untuk sebulan lagi kerana ketika permohonan pertama, ia cuma mendapat kelulusan dua bulan sahaja kerana ada kesilapan teknikal walaupun pelajar berhak melanjutkan elaun selama tiga bulan jika draf thesis telah dihantar kepada pusat pengajian siswazah. Tetapi malangnya permohonan kali kedua agar elaun dilanjutkan gagal kerana alasan baki geran penyelidikan, berbaki sedikit dan tidak boleh menampung untuk lagi sebulan.

Kita hanya mampu merancang dan Allah saja penentu yang mutlak bagi segala kejadian. Dialah yang berkuasa mentakdirkan dan mentadbir malah setiapnya mempunyai alasan yang kukuh disisi Allah.  Sepatutnya 2 November adalah tarikh draf tesis saya siap disemak oleh panel pemeriksa tetapi ia tidak barlaku seperti yang telah direncanakan kerana terdapat kesilapan menulis alamat oleh pihak pengurusan, menyebabkan draf tesis saya lambat tiba ke tangan panel pemeriksa. Saya kecewa tapi saya harus bertenang kerana pasti ada hikmahnya. Tarikh VIVA saya mungkin  pada hujung tahun ini. Tapi alhamdulillah saya VIVA pada 24 November 2011 yang lalu. Keputusan peperiksaan lisan tersebut lulus dengan pembetulan major. Huhu..Otak dah tepu dan kena buat pembetulan. Tapi ia harus dilakukan untuk mendapatkan ijazah sarjana yang telah diusahakan. Peperiksaan VIVA selama 5 jam sungguhlah mendebarkan dan menguji kesabaran. Tapi alhamdulillah kesilapan dan teguran adalah satu pengalaman yang bermakna.
           
Saya bertekad untuk mencari kerja walaupun tahu persaingan sengit bakal menanti kerana saya masih berstatus dalam pengajian. Pada mulanya saya agak serabut dengan tugas-tugas sebagai pembantu penyelidik siswazah yang masih belum selesai, mengurus rumahtangga, menjaga anak-anak dan mencari kerja. Semua perkara yang dilakukan menjadi tidak sempurna kerana kerunsingan emosi membuatkan saya hilang fokus. Saya betul-betul resah hinggalah suami saya menunjukkan surah Al-Talaaq ayat 2-3 dan suami menyuruh saya membaca maksudnya berulang kali. Tujuan utama suami ketika itu supaya saya bertenang dan sabar.

Firman Allah SWT yang bermaksud :
Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya) {2}

Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. {3}
 
Akhirnya keresahan terhadap persoalan kerja menjadi reda dan yakin jika baki gaji suami tinggal sedikit sahaja insyaallah dengan takwa dan meningkatkan amal kepada Allah dan seiring dengan usaha-usaha untuk mendapatkan kerja, Insyaallah pasti Allah beri jalan keluar dari masalah ini dengan ketentuanNya yang tersendiri. Sesungguhnya Allah sahajalah yang Maha Mengetahui. Paling tidak disaat ini keresahan hilang acapkali membaca ayat-ayat itu yang juga dipanggil sebagai ayat Seribu Dinar. Apabila memikirkan kembali setiap bulan pun kadangkala kami berasa mungkin gaji bulan ini antara cukup dan tidak cukup kerana ada hal-hal kecemasan tapi Alhamdulillah, Allah yang Maha Pemurah tidak pernah membiarkan kami dalam kesusahan dan semuanya sentiasa cukup.  Acapkali perkara ini saya dan suami sembangkan. Saat mengingatkannya saya bersyukur dan yakin Allah akan bantu dan permudahkan segala urusan. Cuma saya berharap jangan Allah berikan kesenangan dan kesusahan  ini sebagai tanda Allah sudah tidak sayang dan murka. Janganlah Allah lemparkan istidraj pada wajah yang hina dina ini. Jika ya, saya benar-benar malu.
 
Mencari kerja di jobstreet kini bukan semudah 3 4 tahun dahulu. Dulu apabila memohon kerja di jobstreet pasti dapat panggilan interview. Tapi kini walaupun resume diteliti sebanyak 3 kali belum tentu dipanggil dan persaingan kerja sangatlah hebat apabila permohonan untuk satu-satu jawatan hampir ratusan malah ada yang mencecah ribuan walaupun hanya disekitar johor. 
Yang geli hatinya bila saya memohon jawatan kerani pula tiada siapa mahu ambil kerana mereka beranggapan saya tidak akan kerja lama. Jadi borang permohonan hanya dibelek dan lansung tidak dipanggil temuduga. 

Mungkin Allah sedang menyuruh saya sabar dahulu. Dan mungkin usaha saya dalam mencari kerja belum cukup banyak. Namun inilah nikmat susah. Susah yang akan menambahkan ibadah dan doa. Kami suami isteri selalu bersembang adakah bila senang nanti kita akan selalu dapat menikmati "kemanisan amal kebajikan dan ibadah diwaktu susah ini"????

mudah-mudahan Allah jadikan kami hamba yang selalu bersyukur..Amin

No comments:

Post a Comment