Thursday

Mengumpat ibarat BULU BURUNG YANG BERTERBANGAN

Yang bertulisan biru ni bukanlah tulisan saya, tapi terima kasih kepada Wanita Bertudung Hijau sebab sudi berkongsi ilmu dari kuliah yang dia hadiri. Banyak manfaat dari artikel ini bagi mereka yang mahu berfikir dan bertakwa. Patutlah Allah kata dosa mengumpat ni lebih besar daripada berzina..Astagfirullah..Meh kita baca dan sama-sama ambil iktibar..
~~~~~~~
Kuliah zohor semalam sebenarnya menyentuh tentang banyak aspek. Tapi aku nak ringkaskan tentang satu topik sahaja iaitu tentang mengumpat. Aku nak tujukan entry ini khas buat diri aku sendiri. Aku ceritakan di sini versi aku ya.

Ustaz kata, pada zaman dahulu, ada seorang wali Allah. Dia sering diumpat oleh golongan munafik Tapi sebagai wali, dia tetap memaafkan sesiapa saja yang mengumpatnya. Nak dijadikan cerita, salah seorang yang mengumpatnya tadi tiba-tiba mendapat taufik dan hidayah daripada Allah. Maka, dengan penuh rasa bersalah, dia kembali mendapatkan wali Allah tadi untuk memohon maaf. Wali Allah tadi cakap boleh, tapi dengan bersyarat iaitu sediakan sebiji bantal yang diisi padat dengan bulu burung.

Selepas menyediakan bantal yang dikehendaki, wali tadi meminta orang tersebut mengoyakkan bantal itu. Maka berterbanganlah bulu burung tadi. Wali Allah meminta semula orang tersebut kembali mengutip segala bulu burung yang dah berterbangan tadi dan kemudian memasukkan semula ke dalam bantal.

Malangnya, orang tersebut tidak mampu lakukan. Adalah mustahil dapat mengumpul kesemua bulu yang telah terbang entah ke mana. Tiba-tiba wali tadi berkata lebih kurang beginilah,

Beginilah perumpamaan orang yang mengumpat. Dosa kamu mengumpat aku telah ampunkan. Tapi bayangkan bulu burung tadi adalah diibaratkan seperti orang-orang yang mendengar umpatan kamu sebelum ini. Adakah kamu tahu sehingga ke manakah umpatan tersebut telah disebarkan? Kamu takkan mampu kutip dan kumpul.

~~~~~~~~~~
Boleh jadi kita melampaui batas dalam sesuatu perkara tambah-tambah hal yang menjadi kebiasaan kononnya. Contohnya ada orang suka mengintip hal-hal orang lain sedangkan bukanlah suatu keperluan. Sudahlah mengintip, menelah pula tanpa mengetahui hal yang sebenar. Kemudian dengan kepercayaannya yang tersendiri dan keyakinan dari perkara yang ntah betul entah tidak itu, disebar sebar pula kepada orang lain. Sedangkan perkara pokok , lansunglah tidak ditanyakan hal sebenar daripada empunya badan. Banyak terjadi dalam kehidupan sekeliling kita. Saya bawa beberapa situasi. Kadang-kadakala meneliti dan melihat sikap yang dipaparkan berasa malu sendiri kerana terfikir sama ada diri masih tergolong dalam perkara-perkara sebegitu.

"kenapa kahwin awal sangat? ada yang menjawab entah-entah bunting tak"
" lambat betol dia kahwin? ada yang menjawab dia tak laku le tu"
"Kak tipah tu mengadung lagi? ada yang menjawab serupa kilang ye"
"Enon tu dan 10 tahun kahwin tapi tak de anak, ada yang jawab mandul gamaknya"
"Lainnya muka anak dia dengan dia, ada yang jawab ala, dia ada skandal tu"
 
Mungkin apa saja situasi yang kita hadap, waima membaca tulisan ini apa pemikiran kita disaat ini. Prasangka atau Positif. Allah telah menerangkan dengan jelas sifat buruk prasangka yang Allah larang kerana dari prasangka ia boleh memecah belahkan hubungan sesama manusia.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
Al-Hujuraat ayat 12

 ~~~~~~~
Ini adalah terjemahan dan tafsiran dari web soaljawab.wordpress.com
Dalam ayat ke-12 ini Allah (SWT) menetapkan satu lagi larangan dalam konsep pembinaan persaudaraan dalam Islam. Dua larangan awal dalam ayat ke-11 adalah berbentuk zahir berbeza dengan sifat prasangka dan mengintip-intip dalam ayat ke-12 yang bersifat tersembunyi.
Ayat dimulakan dengan larangan Allah (SWT) terhadap sifat bersangka-sangka (dengan persangkaan buruk – su’ul dzan). Persaudaraan yang kukuh mustahil dapat dibentuk kalau wujudnya sikap bersangka-sangka buruk terhadap satu sama lain. Dari Abu Hurairah, Rasulullah (SAW) bersabda “Jauhilah bersangka-sangka kerana ianya satu penipuan dalam berkata-kata” (riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud). Syak wasangka yang dizahirkan dengan ucapan mudah tergelincir kepada fitnah dan mengumpat (ghibah). Dapatlah disimpulkan bahawa keburukan fitnah dan mengumpat (ghibah) itu sebenarnya adalah berakar umbi dari sifat-sifat syak-wasangka.

Seorang Islam yang beriman seharusnya tidak menzahirkan sebarang anngapan buruk terhadap saudaranya sebagaimana pesan sebuah hadis dari Rasulullah (SAW) yang dilapurkan oleh Abu Hurairah “Allah (SWT) tidak akan melihat niat buruk seseorang itu sehinggalah dia menyuarakannya atau melakukannya”. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Dilapurkan, berkata Umar Al-Khattab “Bila saudaramu berkata sesuatu yang mencurigakan, fikirkanlah tentang yang baik-baik sahaja dan engkau akan mendapat penjelasan yang baik-baik juga” (riwayat Ibnu Katsir dan Imam Malik)
Ayat ke-12 ini diakhiri dengan larangan mengumpat (ghibah, berbicara buruk) yang lahir dari perasaan syak-wasangka. Perbuatan ghibah ini adalah antara faktor utama yang meruntuhkan persaudaraan (ukhwah) sesama Islam. Rasulullah (SAW) pernah ditanya “Wahai Rasulullah, apa sebenarnya Ghibah itu?” Rasulullah (SAW) menjawab, “Iaitu berkata sesuatu tentang saudaramu yang dia tidak suka”, ditanya lagi “Bagaimana kalau ianya benar?” Rasulullah (SAW) menjawab “Sekiranya apa yang kau katakan itu benar engkau telah melakukan ghibah dan sekiranya tidak engkau telah melakukan fitnah”.

~~~~~~
Husnu Dzan bukan suul dzan
Apapun perkara yang kita bercakap jika si empunya diri tidak menyukai apabila mendengarnya ialah mengumpat. Dan seperti tafsiran ayat mengumpat itu lahir dari sangka sangkaan buruk. Teringat satu kisah ketika Saidatina aisyah berjalan bersama rasulullah dan aisyah berkata apabila melihat salah satu satu isteri (sofia) nabi berjalan. Kata aisyah " dia pendek" lantas rasulullah berkata pada aisyah, jika kata-katamu dicampurkan dengan air laut maka berubahlah warnanya. Lihat Saidatina aisyah hanya berkata dia pendek...

jom kita husnu dzan..kita ubah jawapan kita

"kenapa kahwin awal sangat? kita jawab alhamdulillah selamat, semoga berkat dan selamat dari maksiat"
" lambat betol dia kahwin? insyaallah nanti bertemu jodoh. mungkin dia ada tanggungjawab lain yang lebih memerlukan"
"Kak tipah tu mengadung lagi? kita jawab insyaallah berkat ramai anak, senanglah dia masuk syurga"
"Enon tu dan 10 tahun kahwin tapi tak de anak,kita jawab insyaallah allah lebih mengetahui dan berkuasa"
"Lainnya muka anak dia dengan dia, kita jawab itulah kuasa allah yang maha menciptakan. mana tau nu dna mai dr tok nenek moyang dulu2" 


Insyaallah bila kita jawab dengan sangkaan baik, takda ruang kita bersangka-sangka buruk dan kita akan dijauhkan dari mengumpat.

2 comments:

  1. kupasan anda sangat menarik, sy kena belajar utk menterjemahkan ayat supaya nmpk lebih menarik seperti anda :-)

    ReplyDelete
  2. saya pun tak pandai..tulisan mengenai tasir yang biru dan disebut disalin tu semua dr blog soal jawab dan wbh.. biar letak di blog sebab kan, frankly speaking saya memang suka baca blog sendiri..nanti asik baca kita ingat la..hihi..:)

    ReplyDelete