Wednesday

Minggu-Minggu ke Alam Barzakh

Sejak terlantar di rumah sakit 3 minggu yang lalu disebabkan jangkitan paru-paru dan jantung makin lemah dia sudah tidak bermaya lagi. Cakapnya, geraknya, sendinya semuanya sudah lemah dan perlu berpapah.

Kami cuma dapat balik menjenguk pada hari minggu dan sebelah petang hari kerja. Hanya menolong meringankan beban si emak yang menjaga nenda. Kemudian membacakan ayat-ayat quran dan zikir berharap mejadi bantuan menhadapi saat-saat dugaan makhluk dilaknat Allah yang bergayutan di depan pandangan mata untuk menyesatkan diri agar dijemput kembali dengan suul khatimah. Na'uzubillah. 

Baringnya semakin dihenyak sendi yang sudah tidak bermaya. Sabtu lepas pulang meneman sekejap kerana emak ada perkara yang hendak diuruskan. Itulah kali terakhir berjumpa dengan nenda. Dengan cakapanya sudah tiada bunyi. Nafasnya tercungap-cungap dan sepetang air matanya mengalir.

Sudah dikhabarkan kepada emak yang isnin abang perlu ke KL atas perintah ketua. Tak dapat dielak kerana perkara itu sudah dijadualkan acaranya. 11 pagi abang terima perkhabaran keberangkatan nendanya ke alam barzakh. Namun Abang masih di KL. Pergi bukan dengan kenderaan sendiri bukan mudah pula hendak bergegas balik. Orang juga ada agendanya sendiri. Saya terima berita jam 5 petang. TERKILAN. Sebab saya sudah berniat saya ingin memandikan nenda yang kepalanya, rambutnya dan batang tubuhnya yang saya pernah usap dan urut sabanhari semenjak 3 minggu yang lalu. TERKILAN abang ada telifon dan mesej tapi dek kerana telifon sudah pecah skrin itu, saya ralit dan tak menyemak mesej atau panggilan menggunakan perisian khas di laptop. TERKILAN.....

Walau nenda itu bukan darah daging saya, saya sayang kerana saya sayang suami saya dan saya ingat akan nenda saya yang jauh.

Dulu  seawal usia perkahwinan, hati saya selalu memberontak bila berbuat ihsan kepada orang selain emak saya. Hatta kepada mertua dan nenda abang. Hati memberontak kerana wujud satu perasaan khianat kepada emak dan nenda saya sendiri. Seringkali terdetik saya menjaga emak orang tapi emak sendiri di kampung jauh dari mata. Namun usia perkahwinan dan seiring pelajaran dan pengajaran di dalamnya, kasih sayang terhadap suami dan sayang suami terhadap saya membuatkan sayang terhadap metua dan keluarga abang subur dengan sendirinya. Dan kini jika berbuat baik kepada mertua saya yakin emak dan ayah saya pasti mendapat ganjaran pahala.

Petang Isnin baru dapat balik ke parit bakong. Tiada apa lagi yang dapat dibuat hanya bertahlil dan berkumpul saudara mara.

Semoga roh nenda ditempatkan di kalangan orang yang selamat dan bahagia. Amin..
Innalillahiwainnailaihiraji'un
Al FATIHAH buat Nenda Hasnah Binti Omar.

Ya Allah, sempatkanlah masaku bersama bonda dan nendaku di utara sana..Insyaallah Amin.

No comments:

Post a Comment